Friday, March 25, 2011

Abu Turab

Saidina Ali bin Abi Talib digelar Abu Turab (Bapa debu) kerana walaupun kehidupannya sebagai seorang miskin, namun beliau tetap berusaha sehingga tubuh badan dan juga wajahnya berdebu, semata-mata untuk membantu jiran tetangga, terutama balu yang kehilangan suami kerana syahid di medan perang. 

Kisah para balu di sekeliling rumah Ali bin Abi Talib yang setiap pagi apabila mereka membuka pintu rumah, didapati ada makanan tersedia di muka pintu masing-masing. Merekea tidak mengetahui siapakah yang bermurah hati untuk melakukannya, kecuali apabila Saidini Ali meninggal dunia, mereka tidak lagi mendapat makanan di pintu rumah masin-masing. 

Sejak itu barulah mereka sedar bahawa orang yang meletakkan makanan di sebalik pintu rumah mereka ialah Saidina Ali bin Abi Talib yang sanggup membantu orang lain dalam keadaan dirinya sendiri yang serba susah.

Thursday, March 10, 2011

Silaturahim dan Berbuat Baik dengan Jiran Tetangga

 Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua orang ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, Ibn sabil, dan hamba sahayamu..."
(Surah Al-Nisa' 4:36)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud "Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah menyambung silaturahim."
(Riwayat Al-Bukhari no. 2067 dan Muslim no. 2557)

Al-
Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Ansari r.a. bahawa seorang lelaki pernah berkata, yang bermaksud "Wahai Rasulullah, tolong beritahukan kepadaku amalan yang boleh menyebabkan aku masuk syurga dan jauh dari neraka." Nabi SAW bersabda: "Engkau beribadah kepada Allah tanpa berbuat syirik, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan memelihara silaturahim."
(Riwayat Al-Bukhari no. 1396 dan Muslim no. 13)

Al-
Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, yang bermaksud "Rahim itu tergantung di 'Arsy. Dia berkata: 'Sesiapa yang menyambungku, maka Allah akan menyambung (rahmat-Nya) kepadanya. Sesiapa yang memutuskanku, maka Allah akan memutuskan (rahmat-Nya) daripadanya.'"
(Riwayat Al-Bukhari no. 5989 dan Muslim no. 2555)

Al-
Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, yang bermaksud "Orang yang memelihara silaturahim itu bukanlah hanya sekadar memberikan bantuan hadiah. Orang yang benar-benar memelihara silaturahim itu adalah orang yang menyambungnya kembali jika telah terjadi putusnya hubungan silaturahim."
(Riwayat Al-Bukhari no.5991)

Al-
Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda, yang bermaksud "Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah, tidak sempurna imannya. Demi Allah, tidak sempurna imannya." Ketika beliau ditanya" "Maksudnya siapa, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Orang yang jiran tetangganya tidak merasa aman kerana gangguannya."
(Riwayat Al-Bukhari no. 6016 dan Muslim no. 46)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah ia menyakiti jiran tetangganya."
(Riwayat Al-Bukhari no. 6136 dan Muslim no. 47)