Sunday, January 16, 2011

Larangan Berbuat Zalim

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"... Orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafaat yang diterima syafaatnya" (Surah Gafir 40:18)

"... Dan bagi orang yang zalim tidak sekali-kali ada seorang penolong pun." (Surah Al-Hajj 22: 71)

Muslim meriwayatkan daripada Jabir a.s., bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Jauhilah oleh kamu perbuatan zalim, kerana sesungguhnya kezaliman itu kelak akan menjadi kegelapan pada hari kiamat (bagi pelakunya), Jauhilah oleh kamu sifat bakhil, kerana bakhil menjadi punca hancurnya umat sebelum kamu, yakni telah membawa mereka untuk saling menumpahkan darah dan menghalalkan yang diharamkan."

(Riwayat Muslim no. 2578)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dariapada Aisyah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

"Sesiapa yang (di dunia) merampas tanah orang lain sejengkal, maka kelak pada hari Kiamat nanti akan ditindih ia dengan tanah tujuh jengkal."

(Riwayat Al-Bukhari no. 2453 dan Muslim no. 1612)

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dariapada Abu Musa r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menunda azab-Nya kepada orang yang berbuat zalim, dan jika sudah tiba waktunya bahwawa Allah akan mengazabnya, maka sama sekali dia tidak mampu menghindar daripadanya.' Seterusnya, beliau membaca ayat (Surah Hud ayat 102): 'Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azab-Nya sangat pedih lagi keras.'"
(Riwayat Al-Bukhari no. 4686 dan Muslim no. 2583)

Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bertanya, yang maksudnya:

"'Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?" Para sabahat menjawab: "Orang yang muflis adalah orang yang tidak memiliki dirham atau harta benda." Baginda lalu bersabda: "Orang yang muflis dikalangan umatku adalah orang yang kelak pada hari kiamat datang dengan membawa pahala solat, puasa, dan zakat, namun dia juga memikul dosa akibat memaki, menuduh zina, memakan harta orang lain, menumpahkan darah, dan memukul orang lain (tanpa hak). Maka diberikan pahala daripada kebaikannya kepada orang yang dizaliminya. Namun ketika pahala orang yang berbuat zalim itu tidak cukup untuk menebus kezalimannya sendiri, maka diambil dosa orang yang dizaliminya, lalu dipikulkan kepada orang yang menzaliminya, lalu dicampakkan dia ke dalam neraka."

(Riwayat Muslim no. 2581)

Muslim meriwayatkan daripada Iyas bin Tsa'labah Al-Harith r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya:

"Sesiapa yang merampas hak seorang Muslim dengan mengemukakan sumpah palsu, maka Allah mewajibkan baginya masuk neraka dan mengharamkan syurga ke atasnya." Seseorang bertanya: "Meskipun yang dirampasnya berupa barang yang sedikit, wahai Rasulullah" Baginda menjawab: "Meskipun barang tersebut berupa sebatang tongkat daripada kayu arak."

(Riwayat Muslim no. 218)

No comments:

Post a Comment