Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw. katanya: "Allah 'Azza wa Jalla membentangkan tanganNya malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang bersalah siang hari, dan membentangkan tanganNya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah malam hari, sehingga matahari terbit di Barat."
[Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2368]
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Dari Anas r.a. bahawa Ummu Haritsah datang kepada Rasulullah saw. sedang Haritsah (suaminya) telah mati dalam perang Badar, kena panah yang tidak diketahui dari mana datangnya.Ummu Haritsah bertanya: "Ya Rasulullah! Tentu anda mengetahui tempat Haritsah dalam hatiku (cinta kepadanya). Oleh sebab itu, kalau ia dalam syurga, saya tidak akan menangisinya. Tetapi kalau tidak, nanti anda akan melihat apa yang akan saya perbuat." Kata Nabi kepadanya: "Benar pendapatmu! Syurga itu bukan satu, melainkan banyak macamnya. Sesungguhnya Haritsah berada dalam syurga Firdaus yang lebih tinggi." Seterusnya beliau bersabda:"Berangkat di waktu pagi atau petang untuk perjuangan fisabilillah lebih baik dari dunia dan seisinya. Busur panah atau tempat meletakkan kaki dalam syurga, lebih baik dari dunia dan seisinya. Kalau seandainya seorang wanita penghuni syurga datang ke bumi, nescaya akan memancarkan cahaya terang benderang."
[Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1766]
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ }
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
Dari 'Abbas bin 'Abdul Muthalib r.a., katanya dia bertanya kepada Rasulullah saw.: "Ya, Rasulullah! Adakah bermanfaat kepada Abu Thalib kasih-sayang dan pembelaannya terhadap anda?" Jawab Rasulullah saw., "Ada! Dia berada dalam neraka dengan kedalaman sebatas mata kail. Kalaulah bukan kerana pembelaanku kepadanya, dia berada di tingkat yang paling bawah dalam neraka." [Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0166]
No comments:
Post a Comment