Thursday, December 27, 2007

Congkak

Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak mengunakan biji getah atau guli.

Congkak menggunakan papan kayu adalah berbentuk sampan. Congkak memiliki lubang-lubang untuk diisikan dengan buah congkak.

Congkak mempunyai 5, 7 atau 9 lubang yang dipanggil kampung dengan satu lubang besar dibahagian hujung dipanggil rumah. Setiap set congkak mempunyai set kiri dan kanan kampung dengan rumah masing-masing.

Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Rumah pemain adalah teletak disebelah kanan sesorang pemain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.

Cara bermain:
Kedua-dua pemain secara serentak mencapai mana-mana buah congkak di hadapannya (rumahnya) dan memasukkan satu buah congkak ke dalam rumah seterusnya dengan aturan dari kanan ke kiri. Satu buah conkak akan dimasukkan dalam rumah sendiri apabila melepasi kampung lawan. Tiada buah congkak dimasukkan ke rumah lawan. Giliran pemain akan tamat sekiranya buah congkak terakhir masuk ke kampung yang kosong. Pemain lawan akan meneruskan permainan jika pemain pertama telah kehabisan buah congkak.

Terbakar:
Sekiranya buah congkak terakhir masuk ke kampung sendiri, maka pemain boleh menembak kampung yang bertentangan dan mengambil kesemua buah congkak yang ada dalam kampung yang ditembak, dan dimasukkan dalam rumah sendiri. Kampung yang ditembak itu dipanggil terbakar. Kampung yang terbakar tidak boleh digunakan lagi dan tidak boleh dimasukkan buah congkak apabila membuat pusigan congkak.

Memilih pemenang:
Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.



No comments: