Saturday, October 17, 2020

Perkara yang membatalkan wuduk (Siri 2)

Perkara yang membatalkan wuduk
(Kitab Taharah (Bersuci) oleh Sheikh Muhammad bin Ismail Daud Al-. Fatani, Terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor. Cetakan ke-2, 2009, muka surat , 38-39)


Perkara yang membatalkan wuduk ada lima (5):

(#1) Keluar sesuatu dari salah satu daripada dua jalan dengan yakin dengan syarat seseorang itu masih hidup lagi nyata (nyata alat kemaluan)Tidak batal wuduk jika keluarnya daripada orang yang mati, dan tidak batal wuduk bagi khunsa musykil yang mempunyai dua alat kecuali keluar sesuatu daripada kedua-kedua kemaluannya.

Nota rujukan (sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan):  
Khunsa dari sudut istilah para fuqaha ialah: Seseorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan. Ataupun seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya dan dia mempunyai lubang yang keluar daripadanya air kencing. Rujuk Hasyiah Ibn Abidin (5/464), Nihayah al-Muhtaj (6/31).


Khunsa musykil: Seseorang yang tidak jelas tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki atau perempuan. Khunsa musykil juga memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki ataupun perempuan.


Keterangan:
(i) Dimaksudkan dengan keluar sesuatu yang boleh membatalkan wuduk ialah sama ada keluarnya sesuatu yang biasa (seperti tahi dan kencing) atau yang jarang-jarang berlaku seperti darah atau batu atau darah buasir seumpama buasirnya belum keluar.

Batu tersebut sama ada terjadi drpd najis atau batu yang ditelan kemudian keluar melalui kemaluannya sama ada yang keluar itu merupakan najis atau suci seperti cacing walaupun mengeluarkan kepalanya sahaja. 

(ii) Tidak batal wuduk dengan keluar mani disebabkan bermimpi oleh orang yang tidur tetap punggungnya atau berkhayal atau memikirkan tentang syahwat, tetapi diwajibkan mandi.


(#2) Tidur yang tidak tetap papan punggungnya atau tidur secara berdiri atau tidur atas belakang (berbaring) walaupun tetap papan punggung seperti dengan dilekapkan dengan bantal atau sebagainya seperti tiang (bersandar pada tiang atau lain-lainya).


(#3) Hilang akal disebabkan oleh tersangat sakit atau mabuk atau gila babi atau seumpamanya walaupun pada masa duduk yang tetap papan punggungnya.


(#4) Menyentuh kulit perempuan yang bukan mahramnya (yang diharamkan nikah) tanpa berlapik walaupun yang telah mati. Walaubagaimanpun:

(a) Sentuhan sesama jenis atau sesama khunsa atau khunsa dengan lelaki atau khunsa dengan perempuan tidaklah membatalkan wuduk.
(b) Tidak batal wuduk dengan menyentuh rambut atau gigi atau kuku.
(c) Dikehendaki dengan lelaki dan perempuan bagi perkara di atas ialah yang telah sampai "had syahwat" mengkut uruf.
(d) Yang dimaksudkan dengan mahram ialah mereka yang haram berkahwin dengan sebab nasab atau susuan atau bersemandaan seperti menantu dan mertua.

 

(#5) Menyentuh kemaluan manusia dengan tapak tangannya iaitu qubul (kemaluan hadapan) walaupun yang sudah dikerat/potong selagi ianya dinamakan zakar, dan duburnya iaitu:

(i) yang dimaksudkan dengan kemaluan bagi lelaki ialah semua zakarnya tidak termasuk tempat tumbuh bulu dan bagi perempuan ialah dua bibir farajnya yang tertangkup serta daging yang tumbuh di atas faraj (mengikut qul yang muktamad disisi Syeik al-Ramli), oleh yang demikian tidak termasuk tempat tumbuh bulunya.

Keterangan: Batal wuduk dengan menyentuh kemaluan manusia itu sama ada kemaluannya atau kemaluan orang lain sama ada perempuan atau lelaki sama ada kecil atau besar, sama ada hidup atau mati.

(ii) Menyentuh dubur iaitu menyentuh halaqah (ie lubang) dubur anak Adam.
(a) Dimaksudkan dengan tapak tangan ialah tapak tangan dengan semua perut anak jari.
(b) Tidak batal wuduk jika menyentuh dengan tepi tapak tangan atau semua kepala anak jari atau di antara anak jari setelah ditekan sedikit. 

No comments: