Tuesday, December 8, 2020

Tafsir Surah Al-Anfal Ayat 8:60 hingga 61

- us Mahdzir Md Nor kuliah Maghrib Isnin 20-Nov-2017

Tafsir Surah Al-Anfal Ayat 8:60 hingga 61

Surah al-Anfal Ayat 8:60, ms 184 (klik sini utk paparan ayat)

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

- Ayat ini adalah ayat perintah utk Rasulullah menyediakan pasukan ketenteraan yang "termampu", bagi menghadapi musuh Allah. Persediaan ketenteraan ini akan menggerunkan musuh-musuh Allah yang Rasulullah tahu dan juga yang tidak diketahui/tak kenal oleh Rasulullah, sedangkan Allah tahu siapa musuh-musuh Islam.

- Dlm konteks hari ini, ayat ini selalu dirujuk bagi mempersiapkan negara dengan kekuatan tentera, spt pembelian aset ketenteraan.

- Rasulullah mendapat dana utk mempersiapkan pasukan tentera dari infak yang dilakukan oleh para sabahat dan orang-orang Islam. Rasulullah mengajak para sahabat untuk melakukan infak.

- Rasulullah diminta menyiapkan pasukan tentera setakat yang termampu, bukannya yang terhebat. Dengan kekuatan ketenteraan yang termampu itulah tentera Islam menyerahkan peperangan yang mereka sertai kepada Allah. Dengan pengharapan yang tinggi kepada Allah, Allah balas mereka dengan kemenangan. Kekalahan pihak musuh, adalah hadiah dari Allah. Memahami hakikat ini, orang-orang Islam tidak bongkak. Kemenangan bukannya kerana kehebatan peralatan tentera, tetapi kebergantungan dan keimanan kepada Allah, keyakinan mereka kepada Allah. Mereka sedang melakukan kerja untuk Allah, demi menghapuskan musuh-musuh Allah.  

- Khalid Al-Walid adalah jeneral tentera perang Islam. Banyak peperangan yang dimenangi di mana Khalid Al-Walid adalah ketuanya. Walaubagaimanapun, Khalid Al-Walid dipecat dari ketua pasukan perang oleh saidina Umar Al-Khatab, kerana telah ada orang Islam yang berkeyakinan bahawa sekiranya Khalid Al-Walid yang mengetuai peperangan, pasti tentera Islam akan menang peperangan itu.
  
- Sikap Khalid Al-Walid apabila dipecat, dia faham bahawa pemecatannya adalah untuk menjaga keimanan orang Islam dan pergantungan kepada Allah. Jaminan kemenangan peperangan bukan kerana Khalid Al-Walid yang mengetuai pasukan perang. Sebaliknya kemenangan tentera Islam adalah atas bantuan Allah. Paling penting adalah perhubungan dan pergantungan kepada Allah.

- Dalam sirah, 4 khalifah selepas Rasulullah adalah orang yang kaya, namun sirah tidak menceritakan kekayaan mereka. Saidina Abu Bakar seorang saudagar dan peniaga yang hebat, dia menginfakkan semua hartanya, hingga apabila ditanya apa yang tinggal, dia menjawab yang tinggal adalah Allah dan RasulNya. Saidina Umar Al-Khattab juga seorang yang kaya, begitu juga saidina Usman dan saidina Ali. Namun mereka sering menginfakkan harta mereka. Rasulullah mendidik para sahabat supaya berinfak, dan mereka lakukan demi Allah dan RasulNya.
 

Surah Al-Anfal, Ayat 8:61, ms 184 (klik sini utk paparan ayat)

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


- Ayat ini adalah peraturan peperangan dalam Islam. Tentera Islam mesti bersedia berdamai dengan pihak musuh sekiranya mereka cenderung untuk berdamai.

- Kisah perjanjian Hudaibiyah, Nabi Muhammad saw datang dari Madinah ke Mekah, dan pasukan Rasulullah dihalang dari memasuki Mekah, dan pembesar Mekah menyuruh Rasulullah pulang dan hanya datang ke Mekah pada tahun berikutnya. Rasulullah kemudiannya menghantar seorang utusan untuk berunding dengan pembesar Mekah. Apabila tersebar cerita utusan Rasulullah yang diutus untuk berunding dengan pihak kafir Quraisy di Mekah dibunuh, orang-orang Islam naik berang dan sedia untuk berperang. Apabila pihak pembesar Mekah mengetahui orang-orang Islam telah siap sedia untuk berperang kerana kematian utusan Rasulullah itu, mereka menghantar utusan memberi tahu keadaan sebenar. Setelah dimaklumkan berita sebenar dan utusan Rasulullah masih hidup, Rasulullah membatalkan hasrat untuk berperang.

- Dalam Islam, ruang perdamaian masih terbuka walaupun dalam keadaan berperang. 

- Infak dalam pelbagai bentuk, seperti harta, wang ringgit. Allah ganjarkan pahala bersedekah seperti sedekah/infak untuk membantu Rasulullah menyediakan kekuatan tentera. 

- Pada zaman Rasulullah, fisabilillah adalah berjuang menegakkan Islam. Dalam konteks hari ini, kita tidak berperang, fisabilillah kepada menegakkan syiar Islam.

- Baitulmal atau pusat zakat bertanggungjawab untuk mengagihkan infak kepada golongan asnaf. Walaubagaimanapun, infak yang lebih afdal adalah kepada ahli keluarga yang memerlukan. 

No comments: