Sunday, August 2, 2026

Tafsir Surah Al-Ahzab ayat 33:1 hingga 6

- us Muhammad Mursyid Al-Aminen kuliah Maghrib Ahad 2-Ogo-2026

Tafsir Surah Al-Ahzab ayat 33:1 hingga 6

- Menurut tafsir Ibn Kathir, Surah al-Ahzab ialah surah Madaniyyah yang menegaskan bimbingan Allah terhadap kehidupan umat Islam dalam masyarakat. Penamaan al-Ahzab pula merujuk kepada gabungan pihak-pihak yang memusuhi Rasulullah saw dan kaum Muslimin, sehingga tercetus Perang alAl-Ahzab atau Perang al-Khandaq.

Surah Al-Ahzab ayat 33:1 (klik sini)
{ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ ٱتَّقِ ٱللَّهَ وَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقِينَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمٗا }

Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

- Ayat ini turun sebagai arahan kepada Rasulullah saw supaya tidak terpengaruh dengan tekanan atau cadangan pihak yang menentang Islam, sama ada daripada kalangan kafir atau munafik. Ibn Kathir menjelaskan bahawa perintah ini juga menunjukkan bahawa pegangan seorang mukmin hendaklah dibina atas wahyu, bukan atas kehendak manusia.

- 3 musuh Rasulullah saw:
Dalam konteks sirah, ancaman terhadap dakwah baginda datang daripada beberapa kelompok: golongan kafir yang cuba memaksakan gaya hidup mereka, ahli kitab yang menolak risalah Nabi kerana kesombongan dan sentimen perkauman, serta golongan munafik yang berperanan melemahkan kekuatan umat Islam dari dalam.

Konteks surah Al-Ahzab ayat 32:1 ini adalah, Allah menegur Rasulullah saw agar tetap bertakwa dan tidak mengikuti tekanan orang kafir serta munafik. Dalam suasana itu, setelah Zayid bin Harithah menceraikan Zainab binti Jahsy, Allah memerintahkan Nabi saw menikahinya sebagai penegasan bahawa bekas isteri anak angkat bukanlah haram dinikahi, sekaligus menghapuskan adat jahiliah yang menyamakan anak angkat dengan anak kandung.

Surah Al-Ahzab ayat 33:2 (klik sini)
{ وَٱتَّبِعۡ مَا يُوحَىٰٓ إِلَيۡكَ مِن رَّبِّكَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا }

Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Surah Al-Ahzab ayat 33:3 (klik sini)
{ وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلٗا }

Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

- Pengajaran ayat 1 hingga 3 kpd golongan pemimpin
3 ayat ini menunjukkan bahawa kepimpinan Islam bukan sekadar soal kuasa, tetapi soal amanah, keteguhan prinsip, dan ketaatan kepada Allah.
  • Seorang pemimpin yang baik memimpin dengan ilmu, bukan nafsu; dengan prinsip, bukan pengaruh; dan dengan taqwa, bukan kepentingan diri.

Surah Al-Ahzab ayat 33:4 (klik sini)
{ مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٖ مِّن قَلۡبَيۡنِ فِي جَوۡفِهِۦۚ وَمَا جَعَلَ أَزۡوَٰجَكُمُ ٱلَّٰٓـِٔي تُظَٰهِرُونَ مِنۡهُنَّ أُمَّهَٰتِكُمۡۚ وَمَا جَعَلَ أَدۡعِيَآءَكُمۡ أَبۡنَآءَكُمۡۚ ذَٰلِكُمۡ قَوۡلُكُم بِأَفۡوَٰهِكُمۡۖ وَٱللَّهُ يَقُولُ ٱلۡحَقَّ وَهُوَ يَهۡدِي ٱلسَّبِيلَ }

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.

- Pada zaman jahiliah, zihar digunakan sebagai cara memutuskan hubungan suami isteri secara zalim. Isteri yang dikenakan zihar tidak dianggap bercerai dengan cara yang baik, tetapi juga tidak boleh hidup sebagai isteri seperti biasa. Penganiayaan kpd isteri yg dizahar adalah dia tidak boleh berkahwin kerana status zihar bukan cerai, dan tidak dapat bersama suami kerana disifatkan bhgn tubuhnya sama spt bhgn badan ibu si suami. Maka, Allah membatalkan kefahaman salah ini dan mengajar bahawa ucapan semata-mata tidak mengubah hakikat nasab atau status isteri.

Surah Al-Ahzab ayat 33:5 (klik sini)
{ ٱدۡعُوهُمۡ لِأٓبَآئِهِمۡ هُوَ أَقۡسَطُ عِندَ ٱللَّهِۚ فَإِن لَّمۡ تَعۡلَمُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ فَإِخۡوَٰنُكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَمَوَٰلِيكُمۡۚ وَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٞ فِيمَآ أَخۡطَأۡتُم بِهِۦ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتۡ قُلُوبُكُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمًا }

Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

- Ayat 5 ini membatalkan amalan jahiliah yang menjadikan anak angkat sebagai anak kandung. Anak angkat kekal sebagai anak kepada bapa kandungnya, dan penyebutan mereka sebagai anak sendiri hanyalah lafaz di mulut, bukan hakikat nasab (wajib di-bin-kan kpd nama bapa kandungnya).
- Bagi kes yg tidak jelas bapa kandungnya, bin-kan kpd Abdullah.
- Jika bapa kandungnya tidak diketahui, maka mereka tetap dihormati sebagai saudara seagama dan maula, bukan dinasabkan secara "palsu" kepada bapa angkat.

Surah Al-Ahzab ayat 33:6 (klik sini)
{ ٱلنَّبِيُّ أَوۡلَىٰ بِٱلۡمُؤۡمِنِينَ مِنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَأَزۡوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَٰتُهُمۡۗ وَأُوْلُواْ ٱلۡأَرۡحَامِ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلَىٰ بِبَعۡضٖ فِي كِتَٰبِ ٱللَّهِ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُهَٰجِرِينَ إِلَّآ أَن تَفۡعَلُوٓاْ إِلَىٰٓ أَوۡلِيَآئِكُم مَّعۡرُوفٗاۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي ٱلۡكِتَٰبِ مَسۡطُورٗا }

Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.

- Ibn Kathir menjelaskan bahawa maksud “Nabi lebih utama daripada orang beriman terhadap diri mereka sendiri” ialah perintah dan hukum Rasulullah saw mesti didahulukan atas kehendak diri sendiri. Bahagian “isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka” bermaksud para isteri Nabi saw haram dikahwini oleh orang beriman dan wajib dihormati seperti ibu dari sudut kedudukan syarak.
Pada bahagian akhir ayat, hubungan keluarga sedarah lebih berhak dalam urusan pusaka, dan ketetapan ini membatalkan amalan awal Islam yang mewariskan harta melalui ikatan persaudaraan hijrah atau ukhuwwah. Namun, ayat ini masih membenarkan kebaikan kepada sahabat atau sekutu melalui wasiat yang sah.

- Ayat 33:4–6 menolak adat jahiliah, menegakkan nasab yang benar, dan memuliakan Rasulullah saw, sekali gus melemahkan hujah golongan yang menentang baginda.

- Kesan kepada penentang Nabi
  1. Amalan mengangkat anak secara nasab palsu dibatalkan, jadi mereka yang menentang perubahan ini kehilangan hujah untuk mempertahankan adat jahiliah.
  2. Anak angkat tidak boleh dianggap anak kandung, maka kedudukan sosial dan hukum yang cuba dipalsukan oleh masyarakat jahiliah ditolak oleh Al-Quran.
  3. Rasulullah saw dimuliakan sebagai bapa rohani umat, manakala hubungan nasab tetap diiktiraf mengikut keturunan sebenar.
  4. Golongan kafir dan munafik tidak lagi boleh memanipulasi adat lama untuk mencela Nabi saw atau menolak hukum Allah.
  5. Kebenaran syarak mengatasi tradisi masyarakat, jadi penentang Nabi dipaksa berdepan dengan ketetapan wahyu, bukan sentimen atau kebiasaan lama.

No comments: